Anggota bomba memotong dan membersihkan kawasan kubur yang terjejas selepas pokok mempelam tumbang semalam. FOTO Ihsan JBPM
Adnan Ibrahim


SEPULUH kubur di Tanah Perkuburan Islam Berumbung, Simpang Renggam rosak teruk selepas dihempap pokok mempelam yang tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang semalam.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Renggam Zaiful Zainon berkata, kejadian itu dimaklumkan kepada pihaknya oleh orang ramai pada 5.42 petang.

Menurutnya, sebaik menerima maklumat, enam anggota bersama satu jentera dikejarkan ke lokasi.

“Anggota menggunakan empat mesin pemotong untuk memotong dahan serta batang pokok mempelam selain membersihkan kawasan kubur yang terjejas.

“Kami mengambil masa kira-kira sejam untuk memotong semua dahan dan membersihkan kawasan sebelum operasi ditamatkan pada 7 malam,” katanya.

Menurutnya, waris kubur yang terjejas diharap dapat membersih dan membaiki kerosakan akibat kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 12:01 PM