Khairul Najib Asarulah Khan


AIR mani gajah antara yang dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam beberapa serbuan menerusi Ops Bersepadu Khazanah pada Sabtu dan Ahad lalu.

Operasi dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) itu membabitkan kawasan Hutan Simpan Labis, Johor; Kawasan Rezab Taman Negara Endau-Rompin, Johor; Gua Musang, Kelantan dan Hutan Simpan Ulu Muda, Kedah.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (GERAKAN) Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, operasi itu membabitkan 106 pegawai PERHILITAN serta 103 pegawai dan anggota PGA.

Katanya, antara barangan yang dirampas adalah air mani gajah, kuku, kantung dan taring harimau, kulit kijang, spesis orkid hutan serta pokok kacip fatimah.

“Selain itu, kita turut merampas satu mesin tebang pokok (chainsaw), empat bilah golok dipercayai untuk menebang pokok keranji serta sebilah kapak dan 20 unit jerat nylon yang digunakan menangkap haiwan liar.

“Susulan itu, kita menahan lapan lelaki iaitu lima warga tempatan, Indonesia (2) dan seorang warga Kemboja,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA PGA Datuk Mastor Mohd Ariff serta Timbalan Ketua Pengarah I (Konservasi) (PERHILITAN) Datuk Fakhrul Hatta Musa.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, sejak Ops Bersepadu Khazanah dilancarkan 3 September lalu bagi melindungi hidupan liar dan pemuliharaan hutan khazanah, pihaknya sudah menahan 47 pemburu haram berusia 30 hingga 40 tahun.

“Mereka terdiri daripada enam warga tempatan, Thailand (2), Bangladesh (6), Indonesia (4), China (15), Myanmar (6) dan Kemboja (8).

“Kami masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan pasaran barangan rampasan itu sama ada tertumpu di dalam negara atau membabitkan permintaan luar,” katanya.

Sementara itu, Fakhrul Hatta berkata, keseluruhan rampasan itu dianggarkan bernilai RM500,000.

“Kami sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa termasuk badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengesan dan mengekang perbuatan yang boleh menjejaskan hidupan liar serta dalam menjaga pemuliharaan hutan.

“Mereka yang didapati bersalah boleh didakwa mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 iaitu Seksyen 29 kerana memiliki atau menyimpan jerat, Seksyen 60 kerana memburu atau menyimpan mana-mana hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen dan Seksyen 68 kerana mengambil atau menyimpan bahagian hidupan liar dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 12:39 PM
Zainal Abidin (kanan) bersama Fakhrul Hatta (tengah) serta Mastor menunjukkan gambar suspek dan barang rampasan pada sidang media di Bukit Aman hari ini. FOTO Aswadi Alias