Skip this ad x
Dr Zamihan Mat Zin (kiri), Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (kanan). FOTO NSTP
Murni Wan Omar


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 8 hari bermula 22 Jun tahun depan untuk perbicaraan kes saman Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Dr Zamihan Mat Zin terhadap Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang didakwa memfitnahnya berhubung jawatan dan kerjayanya.

Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas kes disebut semula di dalam kamarnya di sini.

Peguam Adi Zulkarnaim Zulkafli yang mewakili Mohd Asri ketika ditemui berkata, mahkamah menetapkan 22 Jun hingga 25 Jun dan 29 Jun hingga 2 Julai 2020 sebagai tarikh perbicaraan.

Beliau juga memaklumkan bahawa mahkamah menetapkan 13 Disember depan untuk pengurusan kes.

Peguam Nur Aifaa Mohd Zain hadir bagi pihak Zamihan.

Pada 17 Julai lalu, Zamihan memfailkan saman menuntut ganti rugi RM2 juta terhadap Mohd Asri.

Berdasarkan penyata tuntutan, Zamihan yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa Mohd Asri ada mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya sebanyak dua kali berhubung jawatan dan kerjayanya.

Beliau mendakwa, Mohd Asri ada mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya melalui artikel bertajuk ‘Bukan Perlis sahaja’ dan diterbitkan pada 14 Oktober 2018.

Pada 9 Februari lalu, Mohd Asri didakwa sekali lagi mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif dalam sesi forum SOSMA yang bertajuk ‘Siapa Pengganas & Potensi Salahguna Kuasa’.

Ia dianjurkan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya.

Plaintif mendakwa pada hari yang sama, ucapan Mohd Asri itu ada disiarkan di portal berita Malaysiakini bertajuk ‘Asri: Sebut Ayob Khan terbayang muka Zamihan’.

Zamihan berkata, kenyataan fitnah itu secara langsung merujuk kepada kerjaya, jawatan, profesyen beliau dan ia tidak benar.

Kenyataan fitnah itu didakwa membawa maksud bahawa plaintif tidak berintegriti, pembohong dan mengelirukan orang awam dengan hukum Islam yang karut.

Selain itu, Zamihan mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud bahawa beliau tidak berkelulusan dalam bidang syarak, akidah dan hukum Islam serta tidak layak menjadi pengajar selain didakwa seorang pengganas.

Menurutnya, kenyataan fitnah itu adalah berniat jahat dan mendedahkan dirinya kepada kebencian, penghinaan dan cemuhan dalam masyarakat.

Akibat fitnah itu, plaintif mendakwa beliau difitnah teruk dan dipandang hina serta mencemarkan reputasinya dalam masyarakat umum.

Oleh itu, selain ganti rugi am RM2 juta, beliau menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan serta permohonan maaf daripada defendan.

Selain itu beliau turut memohon perintah injunksi melarang defendan sama ada secara langsung atau tidak mengeluarkan kenyataan sama atau berunsur fitnah terhadapnya serta lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 2:01 PM