Dr Siti Mariah (kanan) menjawab soalan mengenai ibu tinggal pada Sidang DUN Selangor hari ini. FOTO Faiz Anuar
BERNAMA

ISTERI yang berada dalam kumpulan ‘ibu tinggal’ dibolehkan memohon bantuan kerajaan negeri bagi memastikan kehidupan keluarga mereka lebih terurus, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, bagaimanapun golongan itu perlu mendapatkan laporan polis (berhubung status mereka) selain sokongan ketua kampung bagi melayakkan mereka memperolehi bantuan itu.

“Bantuan yang disalurkan buat kumpulan ini agak sukar dilaksanakan kerana mereka masih ada suami sah tetapi suami itu seperti ‘chipsmore’ kerana kejap ada kejap tiada.

“Suami tinggalkan isteri dan anak-anak (dalam satu tempoh) serta menyusahkan ibu tinggal ini ...berbanding ibu tunggal kerana ibu tunggal mendapat bantuan lebih mudah kerana ada pendaftaran (cerai atau kematian) yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Rizam Ismail (BN-Sungai Air Tawar) berhubung bantuan untuk ibu tinggal di negeri itu.

Mengulas lanjut, Dr Siti Mariah berkata, bantuan untuk anak-anak ibu tinggal juga agak sukar diberikan berikutan mereka tidak dikategorikan sebagai anak yatim.

“Untuk diberikan bantuan sukar sebab mereka bukan anak yatim,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 3:03 PM