Shamsul Munir Safini


MAHKAMAH Majistret Georgetown hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda sebanyak RM7,000 terhadap seorang bekas pegawai khas seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atas pertuduhan mencabul seorang wanita pada tahun lalu.

Majistret Jamaliah Abd Manap membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan.

Tertuduh, L Prem Anand, 52, yang juga bekas pegawai khas ADUN Paya Terubong didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud untuk mencabul kehormatan seorang wanita berusia 22 tahun di tempat letak kereta sebuah pusat hiburan di Lebuh Pantai di Georgetown pada 11.30 malam, 6 Julai 2017.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau dua dari mana-mana hukuman itu jika disabitkan kesalahan.


Prem (kiri) diiringi anggota polis selepas dijatuhi hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Majistret Georgetown kerana mencabul. Foto Danial Saad

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shafiq Mohd Sazali mohon kepada mahkamah agar tertuduh dikenakan hukuman keras memandangkan kedudukan dan pangkatnya ketika melakukan kesalahan itu.

Menurutnya, ketika perbicaraan yang berjalan sejak dua tahun lalu juga, pihak pembelaan juga kerap mengulangi kenyataan bahawa mangsa cuba memburukkan reputasi tertuduh selain mendakwa wanita berkenaan membuat laporan polis palsu.

Katanya, perkara itu menambahkan derita mangsa seperti mengusap garam pada lukanya.

Mohamad Syafiq berkata, hukuman yang dijatuhkan juga perlu keras bagi membolehkan masyarakat yakin dengan sistem kehakiman dan undang-undang negara ini.

Sementara itu, peguam tertuduh, E Gnasegaran, dalam rayuannya memohon mahkamah menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara sehingga selesai proses memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Menurutnya, anak guamnya memberikan kerjasama yang baik ketika proses perbicaraan yang berlangsung lebih 20 kali.

Katanya, tertuduh yang sudah berkahwin mempunyai dua anak dan perlu menyara keluarganya selain sudah diberhentikan kerja susulan kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 3:22 PM