FOTO Hiasan
Nor Azura Abdul Jalil


BEKAS pengarah syarikat pembinaan dan dua lagi dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, daripada tuduhan bersubahat menerbit dan menawarkan 6,951,921 unit saham syarikat tanpa prospektus yang didaftarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Hakim Hasbullah Adam memutuskan demikian terhadap Datuk Abdul Malek Yusof, 43, Raja Samsul Bahri Raja Muhammad, 48, dan Noor Aida Abdullah, 43, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Dalam keputusannya Hasbullah berkata, selepas mahkamah menilai keterangan dan membuat kesimpulan, adalah tidak selamat bagi mahkamah untuk sabitkan kesemua tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Abdul Malek dan Noor Aida yang juga sebagai bekas pengarah syarikat didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan JPG Holdings Berhad (kini dikenali sebagai Astana Resource Bhd) apabila masing-masing menerbitkan 4,887,650 dan 6,951,921 juta unit saham syarikat tanpa suatu prospektus yang didaftarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat, Raja Samsul Bahri pula didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan JPG Holdings Berhad apabila ia menawarkan 6,951,921 juta unit saham syarikat tanpa suatu prospektus yang telah didaftarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di JPG Holdings Berhad, di 2-2, Tingkat 1, Jalan USJ 21/3, Subang Jaya antara 30 April 2010 dan 19 November 2012.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 370 (c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dibaca bersama Seksyen 232(1) akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 232(7) akta sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM10 juta dan penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Sekuriti Zul’Aida Zulkifli, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili Datuk Chong Loong Men.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 3:25 PM