ADAM Rosly hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Hafiz Sohaimi.
BERNAMA

RAYUAN bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang terhadap sabitan dan hukuman penjara enam bulan dan denda RM30,000 bagi kesalahan memberi pernyataan dan mengemukakan dokumen palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan didengar 25 November ini.

Pendengaran dibuat di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan tarikh itu selepas peguam Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir mewakili Datuk Adam Rosly Abdullah, sebagai perayu memaklumkan pihaknya baru menyerahkan hujahan tambahan kepada pihak pendakwaan dan memerlukan masa untuk menelitinya.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim bertindak bagi pihak pendakwaan.

Adam Rosly, 31, merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada 26 April 2018 yang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM30,000 selepas mendapati dia bersalah atas enam pertuduhan memberi pernyataan dan mengemukakan dokumen palsu kepada SPRM ketika siasatan berhubung dakwaan kemewahan luar biasa yang dimilikinya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Adam Rosly didakwa memberi pernyataan palsu kepada dua pegawai penyiasat SPRM ketika percakapannya dirakam mengikut Seksyen 32 (8) (c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan, Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pernyataan palsu itu adalah berhubung kerjayanya sebagai ahli perniagaan, pendapatan, kenderaan mewah, rumah banglo bernilai RM1.2 juta di Kampung Melayu Ampang yang dibeli secara tunai, pinjaman wang RM200,000 daripada ibu mentua dan arwah neneknya serta pinjaman wang RM500,000 daripada along.

Bagi pertuduhan ketiga sehingga keenam, lelaki itu dituduh menggunakan suatu dokumen palsu iaitu dua perjanjian persetujuan pinjaman wang daripada dua individu dan dua baucar tunai daripada syarikatnya, Gegas Mentari Holding Sdn Bhd dengan niat untuk memperdaya pegawai penyiasat SPRM mengikut Seksyen 89 akta yang sama.

Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Ibu Pejabat SPRM, Blok D6, Parcel D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 9 pagi dan 12.15 tengah hari 10 Februari 2017, dan antara 9 pagi dan 2 petang, 22 Februari tahun sama.

Kesemua pertuduhan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 3:45 PM