Gambar hiasan
Baharom Bakar


DUA hotel terkenal di Kuala Terengganu termasuk yang dimiliki badan berkanun dikenal pasti antara 44 bangunan tidak memiliki Sijil Perakuan Bomba (FC).

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Sharikan Bustaman menegaskan, pihaknya kini sedang menyiapkan laporan termasuk bukti untuk mengambil tindakan terhadap pengusaha hotel berkenaan.

Menurutnya, tindakan undang-undang perlu diambil selepas pengusaha kedua hotel terbabit mengabaikan notis amaran yang dikeluarkan pihaknya.

“JBPM negeri kini dalam proses menyiapkan laporan sebelum dikemukakan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut di mahkamah.

“Pengusaha hotel itu bukan saja mengabaikan keselamatan pelanggan tetapi juga melakukan pelbagai kesalahan lain antaranya isu teknikal, gagal menyediakan lampu kecemasan serta mengalami kerosakan rumah pam,” katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Sharikan menegaskan, pengusaha hotel atau pemilik bangunan berkenaan akan diambil tindakan mengikut Seksyen 30 Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

Menurutnya, pengusaha atau pemilik bangunan itu boleh dikenakan tindakan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

“JBPM negeri sudah memberi tempoh antara sebulan hingga enam bulan kepada pengusaha hotel terbabit dan pemilik bangunan supaya mengemukakan permohonan untuk mendapatkan FC, namun mereka gagal memberi maklum balas,” katanya.

Mengulas mengenai punca utama pemilik bangunan dan premis enggan memohon FC, Sharikan berkata, kos baik pulih sistem keselamatan yang tinggi menyebabkan mereka gagal berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 3:46 PM