Skip this ad x
DATUK Mat Kasim (kanan) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka. FOTO Rasul Azli Samad.
Rizanizam Abdul Hamid


SERAMAI 20 kanak-kanak yang dilapor hilang di Melaka sejak sembilan tahun lalu masih gagal dikesan sehingga kini.

Ketua Polis Melaka Datuk Mat Kasim Karim berkata, masih tiada petunjuk jelas mengenai lokasi kanak-kanak itu, sama ada berada di dalam mahupun di luar negara.

“Kanak-kanak yang 20 orang ini langsung tak dijumpai dan yang merisaukan kita, sama ada anak ini dibawa oleh sindiket atau telah dijual ke luar negara.

“(Itu) pun kita tak tahu, kita tak dapat rekod yang jelas,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan Seminar Kehilangan Kanak-kanak: Di manakah Silapnya? di Auditorium Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Sharul Lalli Masduki dan penganalisis jenayah Kamal Affandi Hashim.

Mengulas lanjut, Mat Kasim berkata, 20 kanak-kanak malang itu daripada 303 orang yang dilaporkan hilang sejak 2010 hingga Oktober lalu.

“Daripada 303 kes berkenaan, 93 peratus atau 283 orang telah ditemui.

“Kalau kita lihat trend kenapa kanak-kanak dijumpai semula, adalah hasil kerjasama masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan juga media yang menguar-uarkan,” katanya.

Katanya, Melaka Tengah adalah daerah yang merekodkan jumlah tertinggi kanak-kanak hilang iaitu 150 orang diikuti Alor Gajah (83) dan Jasin 70 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 4:02 PM