Al-Sultan Abdullah (tengah) dan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah berkenan bergambar kenangan bersama penerima pingat iaitu anggota polis yang bertugas di Istana Negara. FOTO Bernama
BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2019 kepada 243 individu pada istiadat yang berlangsung di Istana Melawati di Putrajaya.

Turut berangkat pada istiadat berkenaan ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Lima individu dianugerahkan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk.

Mereka ialah Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Datuk Prof Emeritus Ir Dr Mohd Azraai Kassim; Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Leftenan Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal dan Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Azizan Md Delin.

Turut dianugerahkan PJN ialah Pengarah Strategik Kumpulan Lion Datuk Chandran Rama Muthy dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kop Mantap Bhd Datuk Iskandar Abdul Malik.

Tiga individu dianugerahkan Darjah Panglima Setia DiRaja (PSD) yang membawa gelaran Datuk.

Mereka ialah bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Osman; Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Engku Hamzah Tuan Mat yang meninggal dunia 29 September lalu.

Darjah PSD yang dianugerahkan kepada Allahyarham Engku Hamzah diterima balunya Datin Rohana Che Hassan.

Lima individu termasuk Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor dianugerahkan Darjah Johan Mangku Negara.

Lapan individu dikurniakan Darjah Johan Setia Mahkota manakala seorang dianugerahkan Johan Setia DiRaja.

Seramai 40 individu dianugerahkan Darjah Kesatria Mangku Negara termasuk Pengurus Kanan Kewangan dan Pentadbiran dan juga Pemangku Ketua Modal Insan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Sharifah Zaini Syed Zain.

Lima individu menerima Darjah Kesatria Setia DiRaja, 52 individu menerima Darjah Ahli Mangku Negara manakala penerima Pingat Pangkuan Negara ialah 77 orang dan penerima Pingat Bentara Setia DiRaja pula 47 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 4:12 PM