Kesan darah Chai Baw di lokasi kejadian tetak di Jalan Pasar Sri Lalang, Kluang semalam. Foto Ihsan PDRM
Adnan Ibrahim


LELAKI cedera di kedua-dua tapak tangan dan lengan selepas menahan tetakan seorang lelaki tidak dikenali di Jalan Pasar Sri Lalang dekat Kluang, 5 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, siasatan mendapati sebelum kejadian mangsa, Teng Chai Baw, 59, yang tinggal seorang diri di Jalan Pasar Sri Lalang itu dikatakan keluar rumah untuk menyimpan motosikalnya di bangsal belakang kediamannya.

Menurutnya, mangsa kemudiannya terdengar beberapa ekor anjing menyalak di tempat parkir kenderaan sebelum dia pergi untuk menghalau haiwan berkenaan.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba dia diserang seorang lelaki menggunakan parang dan menyebabkannya terpaksa menggunakan tangan untuk menahan serangan itu.

“Serangan itu menyebabkan mangsa menjerit meminta pertolongan jiran, lelaki yang menyerangnya kemudiannya melarikan diri,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Mohd Abduh berkata, jiran yang mendengar jeritan minta tolong itu bergegas keluar dan mendapati mangsa mengalami pendarahan di tangan sebelum mengejarkannya ke Unit Kecemasan Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa mendakwa tidak mempunyai sebarang musuh dan tidak pernah berhubung dengan sesiapa selain menumpukan perhatian pada kerjanya sebagai pembantu kedai di sebuah kedai kopi di Jalan Chung Hwa.

“Mangsa juga tidak mengecam wajah suspek berikutan keadaan gelap selain lelaki itu tidak cakap apa-apa ketika menyerangnya,” katanya.

Menurut Mohd Abduh, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 4:18 PM