Kecederaan yang dialami pegawai polis selepas diseret kenderaan dipandu seorang remaja lelaki di Jalan Kampung Ranggu, Limbang malam tadi. Foto Ihsan PDRM
Kecederaan yang dialami pegawai polis selepas diseret kenderaan dipandu seorang remaja lelaki di Jalan Kampung Ranggu, Limbang malam tadi. Foto Ihsan PDRM
Erika George


PEGAWAI polis cedera selepas terseret sejauh 200 meter oleh kenderaan dipandu remaja lelaki berusia 15 tahun di Jalan Kampung Ranggu, Limbang pada 11.50 malam tadi.

Sebelum itu, mangsa yang berpangkat Inspektor dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang menahan sebuah kenderaan kerana berada dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, ketika mangsa cuba menghampiri dan mengarahkan suspek keluar dari kenderaan itu, secara tiba-tiba ia memecut laju.

Menurutnya, ia juga mengheret mangsa sebelum pegawai berkenaan terjatuh ke tepi jalan.

“Akibat insiden itu, mangsa mengalami kecederaan pada kepala, lengan, bibir, punggung dan kedua belah tangannya akibat geseran,” katanya.

Berikutan itu, menurutnya, operasi mengesan suspek dijalankan oleh sepasukan polis ke kediamannya di Kampung Menuang pada 2.30 pagi tetapi gagal menahannya kerana remaja terbabit tiada.

Katanya, pemeriksaan di kediaman itu menemui selaras senapang patah buatan sendiri dan dua laras senapang angin termasuk lapan butir peluru jenis penabur dipercayai milik bapa suspek berusia 44 tahun.

“Turut dirampas satu keratan penyedut minuman lutsinar mengandungi ketulan kristal dipercayai syabu seberat 0.27 gram yang dianggarkan bernilai RM40 ditemui dalam beg silang milik bapa remaja terbabit,” katanya.

Menurutnya, soal siasat terhadap bapa remaja itu kemudiannya membawa kepada penahan suspek di Kampung Bebuloh, Tedungan pada 11 pagi hari ini manakala kenderaan dipandunya yang disembunyikan di kawasan berdekatan turut dirampas.

Katanya, suspek yang turut memiliki rekod lampau berkaitan dadah itu akan disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 332 Kanun Keseksaan.

Abang Zainal berkata, ayahnya yang turut ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 8 (a) Akta senjata 1960 dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 4:58 PM