Raja Noraina Raja Rahim


SYARIKAT perkhidmatan pengurusan sisa pepejal didenda RM18,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas kesalahan melonggokkan sisa pepejal komersial tanpa kebenaran, Februari lalu.

Hakim Muhammad Zaki Abdul Kudos membuat keputusan itu selepas Pengurus Operasi Sheng Chen Enterprise, Chia Poh Fatt yang mewakili syarikat itu mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut kertas pertuduhan, syarikat itu didakwa melonggokkan sisa pepejal komersial tanpa kebenaran di atas empat lot tanah di Mukim Setul, di sini, pada 4.30 petang 4 Februari lalu.

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 71(8) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda RM10,000 hingga RM100,000 atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Chia (kiri) mewakili Sheng Chen Enterprise dan Rahman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini. FOTO Adzlan Sidek

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SWCorp, Siti Adora Rahtimin dan Mohd Iqram Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan rayuan tertuduh, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM18,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh membayar kos simpanan empat tong milik syarikat itu yang dirampas SWCorp sebelum ini berjumlah RM11,680 dan semua tong itu dilucut hak kepada SWCorp.

Dalam kes berasingan, pemilik kedai perabot Rahman Gafar, 57, mengaku bersalah atas pertuduhan melonggokkan sisa pepejal pembinaan tanpa kebenaran, Ogos lalu.

Kesalahan itu dilakukan di tanah simpanan jalan milik kerajaan di Jalan Indah 3/10, Taman Indah, Tampin, pada 10.30 pagi 26 Ogos lalu.

Bagaimanapun, Rahman merayu supaya hukuman ditangguhkan kerana kali pertama menghadiri mahkamah dan tidak berkemampuan untuk membayar denda.

Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan itu dan menetapkan 18 Disember ini untuk jatuh hukum.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SWCorp, Mohd Saipul Rizal Zainol manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 1:33 PM