Mohd Husni Mohd Noor


SEBANYAK 388,098 nama pemilih yang sudah meninggal dunia dikeluarkan daripada daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sejak 2017 hingga 31 Ogos lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 139,118 nama pemilih dikeluarkan pada tahun 2017 dan 117,826 nama pemilih pada tahun 2018.

Beliau berkata, sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 91,154 nama pemilih yang meninggal dunia dipotong dari daftar pemilih.

“Di samping itu, SPR juga memotong nama pemilih yang hilang taraf kewarganegaraan membabitkan seramai 11,799 rekod.

“Daripada jumlah terbabit, 4,363 nama pemilih dipotong pada tahun 2017 dan 3,496 nama pemilih dipotong pada tahun 2018. Manakala sehingga 31 Ogos 2019, 3,940 nama pemilih yang hilang taraf kewarganegaraan juga dipotong dari daftar pemilih.

“Pengemaskinian daftar pemilih yang membabitkan pemilih yang meninggal dunia dan hilang taraf kewarganegaraan ini adalah berdasarkan kepada maklumat yang diterima daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya pada sesi soal jawab lisan di sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Khoo Poay Tiong (DAP-Kota Melaka) yang mahu Perdana Menteri menyatakan langkah-langkah yang telah dan sedang diambil oleh SPR untuk membersihkan daftar pemilih.

Katanya, pembersihan dan pengemaskinian ini adalah bagi memastikan proses pilihan raya di negara ini berjalan dengan telus dan bersih.

Mohamed Hanipa berkata, SPR juga meneliti isu-isu berkaitan daftar pemilih seperti isu pemilih berumur 90 tahun dan ke atas, ramai pemilih berdaftar di satu alamat dan isu pesara tentera dan polis yang mengundi sebagai pengundi awal.

“SPR melaksanakan pelbagai usaha menangani isu pemilih berumur 90 tahun dan ke atas dan isu ramai pemilih berdaftar di satu alamat dengan menjejaki mereka di lapangan berdasarkan kepada alamat mereka dan menulis surat untuk mendapatkan pengesahan status mereka.

“SPR juga berkerjasama dengan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menangani isu pesara tentera dan polis yang mengundi sebagai pengundi awal. Antara tindakan yang dilaksanakan ialah mengemaskini lokaliti mereka ke lokaliti awam dalam bahagian pilihan raya yang sama untuk memastikan mereka mengundi sebagai pengundi biasa jika berlaku Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Kecil,” katanya.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai sistem pendaftaran pengundi automatik, Mohamed Hanipa berkata, SPR akan cuba melaksanakan sistem itu sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, ketika ini beberapa langkah ke arah pelaksanaan sistem itu sudah mula dilakukan bagi memastikan ia boleh dilaksanakan pada PRU15.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 1:50 PM