Sarah Zulkifli


PENGURUSAN kes rasuah membabitkan 40 tuduhan berkaitan Sistem Visa Luar Negara (VLN) yang dihadapi bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sekali lagi ditangguhkan kepada tarikh baharu.

Hakim Rozilah Salleh kemudian menetapkan 28 November ini selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan berhubung pemindahan kes berkenaan.

Sebelum ini, pada 25 Oktober lalu, prosiding kes sama ditangguhkan atas beberapa sebab sebelum Rozilah kemudiannya menetapkan kes itu dijalankan, semalam.

Pada 31 Julai lalu, pihak pendakwaan memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan Presiden UMNO itu untuk memindahkan tujuh tuduhan bagi dibicarakan bersama 33 lagi tuduhan rasuah berhubung VLN dihadapinya di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Ahmad Zahid didakwa menerima rasuah berjumlah S$4.24 juta (anggaran RM1=S$3.06) daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya antara 28 Mac 2017 dan 2 Mac 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(B), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan perkara kesalahan itu dan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Ahmad Zahid turut berdepan 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah RM42.76 juta daripada sebuah syarikat berhubung Sistem VLN.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 2:59 PM
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.