Kerbau jantan mati ditembak selepas memasuki sebuah hotel dalam kejadian di Jalan Tun Tan Cheng Lock, Banda Hilir di Melaka hari ini. Foto Rasul Azli Samad
Rizanizam Abdul Hamid


KERBAU seberat lebih setengah tan mati ditembak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Melaka selepas memasuki sebuah hotel di Jalan Tun Tan Cheng Lock berhampiran Jalan Jonker pagi hari ini.

Sebelum itu, kerbau jantan berkenaan yang dipercayai tersesat itu cuba memasuki sebuah hotel lain di kawasan berkenaan.

Pengarah Pemasaran dan Jualan Hotel Casa del Rio Melaka Agnes Tay berkata, kehadiran haiwan itu sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) hotel berkenaan kira-kira 6 pagi tadi.

“Berdasarkan rakaman CCTV, ia memasuki kawasan premis hotel melalui pagar belakang sehingga menyebabkan kerosakan.

“Ia kemudiannya beredar keluar melalui kawasan kafe menuju ke kawasan berhampiran sebelum kami dikejutkan ia terperangkap dalam sebuah hotel lain kira-kira 8 pagi tadi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Difahamkan, kerbau jantan itu mula berlegar-legar di sekitar kawasan Jonker Walk sejak petang semalam dan merosakkan beberapa harta awam termasuk cermin dan pagar hotel berhampiran.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian 7.20 pagi itu disedari oleh penjaga hotel berkenaan.

Menurutnya, lelaki berusia 27 tahun itu kemudiannya bertindak terjun dari tingkat atas bangunan hotel dua tingkat terbabit kerana panik dengan kehadiran haiwan liar terbabit.

“Selepas lebih sejam mengepung kawasan terbabit, kerbau jantan seberat kira-kira 700 kilogram itu berjaya ditumbangkan kakitangan JPV dengan melepaskan satu das tembakan pada 10.15 pagi,” katanya.

Menurut Raiz Mukhliz, bangkai haiwan berkenaan kemudiannya di bawa ke rumah sembelihan JPV di Jasin untuk tindakan lanjut.

Katanya, pihaknya sedang mengesan pemilik haiwan berkenaan dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu.

Berita berkaitan

Kerbau pun nak 'check-in' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 3:28 PM