KEMALANGAN yang mengorbankan inspektor di Pekan, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


PEGAWAI polis yang menyertai Konvoi Kursus Asas Menunggang Motosikal Berat Kelas B (KAMMB) maut akibat kemalangan di Kilometer 51, Jalan Kuantan-Segamat, Pekan, hari ini.

Kejadian pada 11.05 pagi itu menyebabkan mangsa, Inspektor Muhammad Hilmie Quzaimi Rosli, 26, yang bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Trafik di Bachok, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, mangsa menunggang motosikal Honda CBX 750 dari Kuantan menuju ke Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bakri, Muar, Johor.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa bergesel dengan motosikal di hadapannya yang ditunggangi jurulatih Maktab Teknik PDRM Bakri yang berpangkat Sarjan.

“Pergeselan menyebabkan mangsa jatuh ke laluan bertentangan dan dilanggar Perodua Kancil yang dipandu lelaki berusia 73 tahun dari arah Segamat, yang tidak sempat mengelak,” katanya, hari ini.

Kamarulzaman berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan, manakala sarjan dan pemandu Perodua Kancil tidak cedera.

Katanya, kejadian berlaku di jalan raya yang sedang dinaik taraf dan mempunyai satu lorong dua hala.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 3:54 PM