Gambar hiasan
Hanneeyzah Bariah Baharin


PELAJAR sebuah madrasah tahfiz di Kuala Terengganu ditahan polis petang semalam selepas dipercayai menumbuk seorang pelajar lain sehingga menyebabkan mata kiri mangsa cedera.

Kejadian menimpa mangsa berusia 20 tahun hanya diketahui selepas pelajar lelaki itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kelmarin, selepas mengalami pendarahan di mata.

Sumber berkata, mangsa dibawa ke hospital oleh seorang ustaz madrasah berkenaan sebelum dia ditahan di hospital untuk rawatan lanjut kerana kerosakan teruk pada mata.

Menurutnya, bapa mangsa berusia 50 tahun dari Kelantan yang dimaklumkan mengenai kejadian kemudiannya segera ke HSNZ dan tiba kira-kira 8 pagi kelmarin untuk melihat keadaan anaknya.

“Pada mulanya remaja itu memaklumkan kepada bapanya kecederaan teruk dialami pada mata disebabkan terjatuh katil di asrama madrasah itu.

“Selepas ditanya berulang kali, mangsa kemudiannya mengaku dia ditumbuk di mata oleh seorang pelajar lelaki berusia 19 tahun dalam pergaduhan di madrasah itu kira-kira 10 malam Sabtu lalu.

“Akibat kejadian itu, doktor memaklumkan kepada bapa mangsa mata anaknya rosak teruk dan dilaporkan mengalami kecacatan kekal,” katanya.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati pelajar lelaki yang berasal dari Selangor menumbuk mangsa dalam pergaduhan itu kerana tidak berpuas hati dengannya.

“Siasatan juga mendapati mangsa dan rakannya itu mengalami masalah sejak lebih setahun lalu dan sering berlaku ejek mengejek antara mereka sebelum ini sehingga menjadi punca pergaduhan pada Sabtu lalu,” katanya.

Bapa mangsa yang bekerja sebagai guru kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian terbabit.

Menurutnya, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 4:01 PM