Norizuan Shamsuddin


“SAYA mula risau apabila suami tidak balik ke rumah untuk makan tengah hari dan solat Zuhur sebelum segera mencarinya.

“Kerisauan saya terjawab apabila menemui suami dalam keadaan terbaring dan tidak bernyawa di kebun,” kata Zawiah Salleh, 51.

Zawiah adalah isteri kepada Mamat Junus, 61, yang ditemui maut akibat dipanah petir di kebun sawit di Kampung Matang di Kuala Berang, semalam.

Zawiah berkata, kejadian berlaku sewaktu suaminya berada di kebun bagi menanam anak pokok sawit di tanah berkeluasan 0.80 hektar yang mula diusahakan sejak pertengahan tahun lalu.

“Suami keluar rumah pada 11 pagi untuk ke kebun dan biasanya dia (arwah) akan pulang ke rumah sebelum Zuhur untuk makan tengah hari dan solat.


PAK Kadir menunjukkan lokasi Mamat ditemui meninggal dunia akibat dipanah petir di Kampung Matang, semalam. FOTO Rozainah Zakaria.

“Bagaimanapun, sehingga 2 petang, suami masih tidak balik dan saya cuba menghubungi telefon bimbitnya tetapi gagal.

“Saya mula rasa tak sedap hati lalu meminjam motosikal jiran untuk mencarinya di kebun dan apabila sampai didapati suami sudah meninggal dunia akibat dipanah petir,” katanya.

Zawiah berkata, dia meminta bantuan penduduk dan menghubungi pihak polis bagi tindakan lanjut sebelum mayat suaminya dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.

Katanya, hasil bedah siasat pihak hospital mengesahkan arwah meninggal akibat dipanah petir dan mayatnya sudah dituntut malam tadi sebelum jenazahnya dikebumikan di kampung halamannya iaitu di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Kepong, Pengadang Baru, Kuala Terengganu pada 11 malam.

Sementara itu, rakan arwah yang mahu dikenali Pak Kadir, 52, berkata, dia turut bergegas ke lokasi selepas dimaklumkan Zawiah mengenai kejadian terbabit.

“Arwah yang melecur di bahagian lengan serta hidung berdarah ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian dan terbaring di kawasan air bertakung berdekatan lubang digalinya untuk menanam anak pokok sawit.

“Memang hujan lebat bermula 3 petang semalam dan ketika itu, saya berada di kedai makan yang terletak kira-kira satu kilometer dari kebun berkenaan,” katanya

Portal berita Harian Metro hari ini melaporkan keresahan isteri selepas suaminya yang keluar ke kebun di Kampung Matang tidak pulang ke rumah terjawab apabila lelaki itu ditemui meninggal dunia di kebunnya akibat dipanah petir.

Mangsa ditemui tidak sedarkan diri oleh isterinya yang ke kebun berkenaan untuk mencarinya pada 5 petang.

Berita berkaitan

'Warga emas maut dipanah petir'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 6:09 PM