Ahmad Rabiul Zulkifli


JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sedang menyiasat kesahihan video menunjukkan seekor buaya tembaga didakwa menyusuri tali air di Kampung Baroh, Tok Jiring, Kuala Nerus.

Video berdurasi 48 saat menunjukkan reptilia sepanjang dua meter itu mula tular di media sosial sejak semalam dan ia didakwa berlaku di kawasan tambatan banjir di kampung berkenaan.

Pengarah PERHILITAN Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, kakitangan PERHILITAN sudah diarahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Bagaimanapun sehingga kini, tiada maklumat diperoleh mengenai kesahihan video berkenaan.

“Kesahihan video yang tular itu tidak dapat dipastikan sama ada ia benar berlaku di dalam negeri ini atau sebaliknya.

“Sekiranya ia berlaku di Terengganu, kita akan mengambil tindakan segera untuk keselamatan penduduk,” katanya.


BUAYA tembaga menyusuri sungai tular di media sosial dan dikatakan berlaku di Kampung Baroh, Tok Jiring, Kuala Nerus. FOTO ihsan pembaca.

Beliau berkata, sehubungan itu, orang ramai diminta tidak membuat sebarang andaian yang boleh menimbulkan kebimbangan dan rasa cemas kepada penduduk setempat.

Ketika ditanya sama ada reptilia itu adalah buaya bernama Mamat yang tular di Lombong Tinggal dekat Kampung Tepoh, Dr Abdul Malek menafikan buaya itu adalah Mamat.

Sementara itu, Budin Abdullah, 30, dari Kampung Tok Jiring, berkata dia sedia maklum dengan video mengenai buaya itu, namun tidak pasti lokasi video itu dirakam.

“Saya ada ke tali air itu dan mendapati keadaan tali air di kampung ini semuanya bersimen dan tidak seperti di dalam video itu.

“Bagaimanapun, penduduk berharap pihak bertanggungjawab menyiasat dan sekiranya kewujudan buaya itu sahih, tindakan menangkap buaya itu perlu dijalankan segera.

“Musim Monsun Timur Laut sudah berlaku di negeri ini, kebarangkalian banjir akan berlaku di kawasan rendah di kampung berkenaan dan kita bimbang buaya sama akan mengancam keselamatan penduduk,” katanya.

Menurut Budin, walaupun penduduk tidak pernah diserang buaya sebelum ini, reptilia itu adalah haiwan pemangsa sekali gus dibimbangi berlaku kejadian tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 7:05 PM