Ahmad Rabiul Zulkifli


RATUSAN orang ‘serang’ Pantai Rhu Dua di Marang tanpa menghiraukan diri dihempas ombak besar semata-mata untuk mengutip kerang bulu sejak petang kelmarin.

Difahamkan, kewujudan kerang bulu itu kerana dihanyutkan arus susulan musim Monsun Timur Laut yang melanda negeri itu setiap tahun.

Seorang penduduk Kampung Rhu Dua, Mohamad Syawal Mohamad, 23, berkata, penduduk sekitar pada awalnya hanya menemui kerang bersama cengkerang kosong yang dihanyutkan ke darat sebelum.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan penduduk turun ke dalam air untuk mencarinya.


Orang ramai sanggup meredah ombak mencari kerang bulu di Pantai Rhu Dua, Marang. Foto Rozainah Zakaria

“Saya sendiri memang pencari tegar kerang bulu dan paling banyak mendarat pada 2017 apabila penduduk mampu mengutip lebih 50 kilogram (kg) seorang berbanding hanya antara tiga hingga 20 kilogram (kg) pada tahun ini.

“Pada pendapat saya, fenomena itu tidak berkait dengan kejadian banjir besar seperti yang didakwa di media sosial.

“Kerang itu dihanyutkan air ke pantai itu kerana faktor laut berombak kuat berbanding biasa pada hujung tahun.

“Aktiviti ini memang berisiko tetapi masing-masing mengetahui had pencarian dan tidak pergi jauh ke laut,” katanya ketika ditemui hari ini.

Bagi Rizki Fathullah Rohazmi, 10, pula, dia bersama keluarga berjaya memperoleh lima hingga 10 kg kerang.

“Kami datang ke pantai ini sejak 4 petang kelmarin dan seronok apabila berjaya mengutip kerang.

“Kerang yang dikutip ini bukan untuk dijual tetapi hanya dimakan bersama ahli keluarga,” katanya yang tinggal di Kampung Gong Nangka, Kuala Terengganu.


Rizki Fatullah menunjukkan kerang bulu yang berjaya dikutipnya di Pantai Rhu Dua, Marang. Foto Rozainah Zakaria

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, anggotanya sudah diarahkan menjalankan pemantauan di pantai berkenaan untuk tujuan keselamatan.

“Kami tidak mahu kejadian buruk berlaku seperti lemas dan sebagainya kerana difahamkan penduduk masuk hingga ke paras pinggang untuk mencari kerang itu.

“Mereka sukar dikawal kerana masing-masing seronok mencari kerang di pantai itu dan kehadiran APM di sana bertujuan memantau serta memastikan keselamatan mereka.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mengambil risiko dengan berenang ke kawasan yang terlalu dalam untuk mencari kerang itu memandangkan keadaan ombak yang kuat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 8:06 PM