SHAHIDAN (tengah) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, semalam. FOTO AMRAN HAMID.
Aizat Sharif


ALOR SETAR: Seorang pesara polis didenda RM24,000 di Mahkamah Sesyen Alor Setar di sini, semalam selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menerima suapan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan daripada seorang lelaki di Padang Terap pada 2014.

Tertuduh, Shahidan Ladin, 64, ketika itu berpangkat asisten superintendan yang bertugas di Unit Pencegah Penyeludupan, kini dikenali sebagai Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) mengaku bersalah atas semua pertuduhan dalam prosiding mahkamah minggu lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Shahidan yang ketika itu Komander UPP Bukit Kayu Hitam didakwa menerima suapan RM1,500 daripada seorang lelaki berusia 52 tahun sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap lelaki terbabit.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah gudang minyak tidak bernombor di Kampung Remia, Padang Terap, 24 September dan 23 Oktober 2014, jam 1.52 tengah hari serta jam 11.52 pagi.

Shahidan juga didakwa menerima suapan daripada individu sama di pekarangan tempat letak kereta Hospital Kuala Nerang, Padang Terap, jam 1.05 tengah hari pada 28 November 2014.

Shahidan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu Shahidan memohon mahkamah meringankan hukuman atas faktor kesihatan dan mempunyai tanggungan.

Selain itu, tertuduh hanya mengharapkan wang pencen kerajaan setiap bulan untuk dirinya dan keluarga meneruskan kehidupan.

Hakim Murtazadi Amran ketika menjatuhkan hukuman memerintahkan penjara enam bulan jika tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

Murtazadi berkata, pihaknya mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan individu dan perbuatan tertuduh adalah sesuatu yang salah daripada segi undang-undang serta tidak disukai masyarakat.

Pendakwaan dilaksanakan Timbalan Pendakwa Raya, Tan Sew Ping manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Iszam Kamal Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 6:01 AM