STEVEN Ng dipapah oleh anak jiran ke kediamannya di tingkat tujuh.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


SERAMAI 240 keluarga menghuni bangunan Blok B Pangsapuri Seri Sena di Kampung Bakau, di sini, terpaksa ‘mendaki’ tangga untuk ke rumah masing-masing berikutan lif disediakan rosak sejak tiga bulan lalu akibat perbuatan vandalisme.

Pengerusi Penduduk Pangsapuri Seri Sena, Mohamad Man berkata, meskipun aduan sudah dibuat kepada pihak berkenaan masalah itu masih berlarutan.

“Ada dua blok dengan setiap bangunan dilengkapi empat lif untuk kemudahan penghuni tingkat satu hingga 13.

“Sekarang ini hanya satu lif di Blok A yang masih beroperasi. Berikutan itu penduduk di Blok B perlu menanggung azab mendaki tangga untuk ke rumah masing-masing,” katanya ketika ditemui, semalam.

Mohamad berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kejadian warga emas terjatuh ketika mendaki tangga untuk pulang ke rumahnya.

Katanya, lif yang rosak membantutkan usaha pasukan perubatan dari Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk memberi bantuan kepada penduduk dalam kecemasan.

Bagi pemilik kediaman Steven Ng, 78, berkata, setiap hari dia terpaksa mengupah kanak-kakak untuk memapahnya dari tingkat tujuh turun membeli barangan keperluan harian.

Pesara kerajaan ini berharap pihak yang berkaitan turun padang dan menyegerakan penyelenggaraan lif yang rosak.

“Selagi termampu saya usaha untuk turun sendiri, tapi sekarang sudah uzur jadi terpaksa minta bantuan anak jiran,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sena, Asrul Nizan Abd Jalil berkata, sudah dua kali pihaknya mengadakan pertemuan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri, Azizan Sulaiman bagi menyelesaikan masalah itu.

“Sebelum ini pada September lalu saya sudah utarakan kepada pihak berwajib namun saya difahamkan pihak penyelenggara menunggu lif yang baharu daripada pembekal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 6:10 AM