Rizanizam Abdul Hamid


MASIH belum ada pihak tampil mengaku sebagai pemilik kerbau jantan yang mati ditembak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Melaka selepas memasuki hotel di Jalan Tun Tan Cheng Lock, Melaka , semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz mengesahkan, polis setakat pagi ini masih belum mendapat maklumat berhubung pemilik haiwan seberat lebih setengah tan itu.

“Setakat ini (9 pagi) masih tiada siapa tampil mengaku pemilik dan pihak polis akan cuba mengesan pemilik kerbau berkenaan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah di nombor 06-284 2222 untuk membantu pihak polis,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di Melaka, hari ini.

Difahamkan, haiwan itu berkemungkinan terlepas ketika dibawa pemilik atau pekerja untuk ke lokasi pemindahan dan bukannya diternak penduduk sekitar.

Harian Metro semalam melaporkan kerbau jantan seberat kira-kira 700 kilogram itu tersesat sebelum cuba memasuki hotel lain di kawasan berkenaan kira-kira 6 pagi semalam.

Ia kemudiannya beredar keluar melalui kawasan kafe hotel berkenaan dan menuju ke kawasan berhampiran sebelum terperangkap dalam sebuah galeri berkenan pada 7.30 pagi.

Difahamkan, kerbau jantan itu mula berlegar-legar di sekitar kawasan Jonker Walk sejak petang semalam dan merosakkan beberapa harta awam termasuk cermin dan pagar hotel berhampiran.

Selepas lebih dua jam terperangkap, haiwan itu ditumbangkan kakitangan JPV dengan melepaskan satu das tembakan pada 10.15 pagi.

Kerbau berkenaan juga sempat disembelih sebelum ia mati dan di bawa ke rumah sembelihan JPV di Jasin untuk tindakan lanjut.

Berita berkaitan

Guna peluru hidup elak kejadian buruk - JPV

Kerbau 'check-in' hotel mati ditembak

Kerbau pun nak 'check-in' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 10:00 AM
KERBAU jantan yang ditembak selepas memasuki hotel, di Jalan Tun Tan Cheng Lock, Banda Hilir. FOTO Rasul Azli Samad