GAMBAR hiasan
Norasikin Daineh


MISTERI bau busuk yang dihidu rakan serumah terjawab apabila mayat guru wanita ditemui dalam keadaan terlentang di lantai bilik apartmen di Manggatal, dekat Kota Kinabalu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang, wanita berusia 27 tahun itu ditemui rakan serumahnya selepas didapati tidak keluar dari bilik sejak beberapa hari lalu selain terhidu bau busuk dari bilik berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pengadu wanita berusia 20-an yang juga rakan serumah wanita itu pada 6.10 petang.

“Sejurus terima laporan, kita arahkan anggota ke lokasi kejadian dan sebaik tiba terdapat bau busuk serta terdapat mayat seorang wanita di bilik berkenaan.

“Menurut rakan serumah, wanita itu sudah tiga hari tidak keluar rumah dan hasil maklumat awal daripada ahli keluarganya bahawa wanita terbabit dipercayai ada sakit jantung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ekoran kejadian itu, Habibi berkata, wanita itu disahkan sudah meninggal dunia sejak empat hari lalu oleh pasukan perubatan.

“Mayat ditemui dalam keadaan terlentang di lantai dan terdapat kesan darah dipercayai akibat terjatuh ketika seorang diri di bilik.

“Wanita itu dipercayai sudah meninggal empat hari lalu sebelum ditemui semalam,” katanya.

Habibi berkata, kematian wanita itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mayat wanita itu dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 10:22 AM