Lelaki warga asing ditahan selepas cuba menyogok polis trafik. FOTO Ihsan PDRM
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


TINDAKAN lelaki warga Myanmar cuba menyogok polis trafik bagi mengelak dikenakan tindakan kerana menunggang motosikal tanpa lesen mengundang padah apabila dia ditahan semalam.

Lelaki itu ditahan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar ketika menunggang motosikal jenis Yamaha LC di Jalan Daeng Selili, Kuala Kangsar dalam operasi penguatkuasaan lalu lintas pada 11.50 semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, pemeriksaan mendapati warga asing itu tiada lesen memandu dan cuba merasuah anggota polis yang menahannya sebanyak RM50.

“Suspek mengeluarkan wang kertas RM50 dari genggaman tangan kanannya dengan tujuan tidak diambil tindakan saman.

“Anggota polis yang terbabit sudah memberi amaran kepadanya beberapa kali supaya jangan memaksa polis menerima rasuah namun warga Myanmar itu masih memaksa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek ditangkap kerana cuba memberi suapan kepada anggota polis dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 11:11 AM