LIMA lelaki ditahan polis kerana memiliki senjata dan dadah selepas melarikan diri sebelum kereta Perodua Alza terbabas ke dalam longkang di SS2/35, Petaling Jaya, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


LIMA lelaki ditahan polis kerana memiliki senjata dan dadah, selepas melarikan diri sebelum kereta Perodua Alza terbabas ke dalam longkang di SS2/35, Petaling Jaya, semalam.

Dalam kejadian 2 petang itu, anggota tugas ronda cegah jenayah bermotosikal Balai Polis Sea Park menyedari kereta dinaiki suspek berusia 19 hingga 34 tahun dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, anggota polis kemudian cuba menahan kereta itu, namun pemandunya enggan berhenti dan terus memecut laju.

Menurutnya, suspek turut merempuh beberapa kereta dan motosikal yang berada di Jalan SS2/35 sebelum terbabas ke dalam longkang.

"Mereka kemudian ditahan polis yang mana pemeriksaan lanjut menemui sebilah bersaiz 31 sentimeter, kayu nunchaku dan enam tiub dadah disyaki heroin.

"Suspek yang tidak bekerja itu di dapati empat daripadanya positif dadah methamphetamine dan seorang lagi positif dadah morfin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mereka juga memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan curi selain orang dikehendaki polis.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) ADB 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 11:41 AM