KANAK-KANAK lelaki berusia dua tahun retak tulang kaki kiri selepas dilanggar sebuah kereta di hadapan rumah di Jalan Parklands Taman Semenyih, di Kajang, Ahad lalu. FOTO Tular
Muhaamad Hafis Nawawi


KANAK-KANAK lelaki berusia dua tahun retak tulang kaki kiri selepas dilanggar kereta di hadapan rumah di Jalan Parklands Taman Semenyih, Kajang, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, bagaimanapun bapa mangsa hanya tampil membuat laporan polis 10.07 malam tadi memaklumkan kejadian itu.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku di hadapan rumah di jalan Parklands, Taman Semenyih, 6.28 petang.

"Kemalangan berlaku apabila mangsa sedang bermain dengan anak jiran sebelum tiba-tiba menghala ke jalan dan berlanggar dengan kereta.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan retak tulang kaki kiri dan dihantar ke Hospital KPJ Kajang untuk menerima rawatan dan mangsa dibenarkan pulang selepas menjalani rawatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Malah turut tular di media sosial video kejadian itu apabila kanak-kanak terbabit tiba-tiba keluar ke jalan sebelum dilanggar kereta itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 12:00 PM