Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 180 individu sedang dikesan pihak polis bagi membantu siasatan kes jenayah komersial di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata, individu yang dikesan itu diminta tampil untuk membantu siasatan membabitkan pelbagai kes jenayah komersial yang dilaporkan sebelum ini.

“Bagi Operasi Waran Tangkap 2019 kali ini, kami sedang mengesan 180 individu daripada pelbagai latar belakang pekerjaan di seluruh negara bagi membantu menyelesaikan kes yang dilaporkan sebelum ini.

“Ini adalah antara usaha dilakukan kami (JSJK) untuk menyelesaikan isu lambakan kertas siasatan di jabatan ini selaras dengan saranan Ketua Polis Negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad menunjukkan individu yang ditahan atas kesalahan jenayah kes komersil selepas sidang media mengenai Kejayaan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman di Menara KPJ, Jalan Tun Razak. FOTO Azhar Ramli

Sementara itu, Mohd Zakaria berkata, seramai 67 individu yang dikesan sebelum ini bagi membantu siasatan atas pelbagai kes jenayah komersial sudah tampil kepada pihak polis.

“Daripada jumlah itu, 28 individu sudah dituduh di mahkamah, manakala selebihnya masih dalam siasatan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan.

“50 lagi individu yang belum tampil diminta berbuat demikian bagi memudahkan proses siasatan sebelum pihak polis terpaksa mengambil pendekatan menahan mereka seperti yang diperuntukkan undang-undang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 1:57 PM