Dr Mahathir diiringi Tan Sri Muhyiddin Yassin serta calon PH, Karmaine Sardini ketika Program Ceramah Mega Harapan di Kukup, Pontian. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani


“DIA selalu bersama saya,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad mengimbau kenangan bersama Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42.

Dr Mahathir tidak dapat melupakan kenangan bersama Ahli Parlimen Tanjung Piai itu kerana Allahyarham memberikan khidmat terbaik sepanjang khidmatnya.

“Saya macam tidak percaya bila diberitahu dia meninggal dunia kerana dia baru saja bersama saya, Mat Sabu (Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu) dan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sembahyang Jumaat.

“(Ketika itu) tidak nampak dia (arwah) sakit apa-apa. Dia selalu bersama saya dan pagi itu (hari kejadian), saya diberitahu dia sudah meninggal,” katanya sebak.

Perdana Menteri berkata, tiada apa yang mampu membalas jasa baik sepanjang Allahyarham berkhidmat kepada penduduk Tanjung Piai.

“Dia (arwah) berkhidmat begitu baik dan melayan pengundi serta rakyat di Tanjung Piai serta seluruh Malaysia.

“Apa yang kita adakan malam ini (ceramah) mendoakan cadangan dan kehendak Dr Farid untuk melihat Tanjung Piai ini menjadi kawasan terbaik dengan dibekalkan semua kemudahan yang mampu diberikan,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan calon yang rapat dengan kerajaan membantu dalam menyuarakan pelbagai isu.

“Adalah lebih baik kita pilih calon yang mempunyai ikatan baik dengan kerajaan. Kerajaan pusat dan negeri adalah Kerajaan PH.

“Di mana nak pergi (membawa pembangunan), jika tidak pilih kerajaan PH apatah lagi sebuah kerajaan yang berniat membantu rakyat,” katanya.

Dr Mahathir turut percaya calon PH, Karmaine Sardini mampu memikul amanah dan tanggungjawab sebagaimana dilaksanakan Allahyarham Dr Md Farid.

“Calon PH akan meneruskan pelaburan di sini selain membantu menyediakan kemudahan infrastruktur dari yang ada sekarang.

“Sistem telekomunikasi akan dibaiki, jalan rosak dibaiki dan membina jalan baru selain kurangkan banjir,” katanya.

Katanya, semua itu akan dilaksanakan jika pengundi Tanjung Piai tidak menolak calon PH.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 2:49 PM