Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


‘SAYA tidak gentar’. Itu reaksi Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika ditanya mengenai semua anggota polis termasuk dirinya tidak terkecuali daripada siasatan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Menurutnya, beliau tidak mempunyai sebarang bantahan malah jika IPCMC tidak diwujudkan sekalipun dirinya sedia disiasat jika melakukan kesalahan.

“Sebagai IGP (Ketua Polis Negara), saya juga warga Malaysia yang tertakluk kepada undang-undang yang sama.

“Apa yang special (istimewa) IGP sehingga boleh berbuat sesuatu yang yang di luar (menyalahi) undang-undang? Tidak ada...saya tidak kira itu semua,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Anugerah 2019, Apresiasi Murid dan Graduasi Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin yang berkata, Ketua Polis Negara juga tidak terkecuali daripada disiasat menerusi IPCMC sekiranya wujudnya salah laku.

Abdul Hamid berkata, sekiranya ada pihak yang mempunyai maklumat mengenai salah lakunya, beliau tidak menghalang pihak berkenaan daripada membuat aduan.

“Mengapa perlu takut jika tidak buat salah, saya seorang yang adil dan bukannya diktator.

“Saya percaya kepada undang-undang...saya kira isu ini hanya sekadar polemik sahaja,” katanya.


Abdul Hamid Bador bertemu dengan murid selepas Hari Anugerah 2019, Apresiasi Murid dan Graduasi SK Jerantut hari ini. Foto Farizul Hafiz Awang

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai permohonan permit bagi kempen rumah ke rumah atau tinjauan mesra sepanjang tempoh berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, beliau menegaskan ia tidak dilakukan atas desakan atau arahan mana-mana pihak.

Menurutnya, arahan permohonan permit itu dikeluarkan bagi mengelakkan berlaku pertembungan antara penyokong parti yang bertanding.

Katanya, arahan itu hanya membabitkan pengisian borang dengan butiran kempen dibuat atas pertimbangan faktor keselamatan.

“Saya tidak mahu ada sekatan (pada) politik dan kita mahu (ada) demokrasi namun ada pertimbangan keselamatan...jika berlaku apa-apa nanti, saya tidak mahu lepas tangan.

“Tapi dalam isu ini, dua-dua pihak juga marah dan tidak puas hati, baik dari Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN)...jika kedua-dua pihak tidak mahu, kita boleh tarik semula (arahan itu) anytime (bila-bila masa),” katanya.

Abdul Hamid menambah, berdasarkan pemerhatiannya selepas dua kali berkunjung ke Tanjung Piai, suasana kempen dilihat berlangsung secara sihat dan tiada perkara besar yang perlu dibimbangkan.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 3:13 PM