Asrah dilaporkan keluar rumah di Sabak Bernam sejak tengah hari 5 November lalu.
Amirul Aiman Hamsuddin

AHLI keluarga warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Jalan Tanah Lesen, Sungai Air Tawar di Sabak Bernam sejak 5 November lalu berharap masih ada sinar untuk menemui bapa mereka itu dalam keadaan selamat.

Anak lelaki warga emas itu, Mohamad Ismail Asrah, 45, berkata, usaha pencarian ayahnya, Asrah Salleh, 85, giat dijalankan dan diperluaskan berikutan kehilangannya masih menjadi tanda tanya.

“Kami sekeluarga berharap ayah ditemui segera dan dapat pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat.

“Pelbagai usaha sedang kami lakukan bagi mengesan ayah termasuk mengadakan solat hajat.

“Kami tidak putus berdoa siang dan malam agar Allah permudahkan urusan kerana kehilangan ayah kini sudah masuk minggu kedua,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ismail berkata, ahli keluarganya turut memperluaskan kawasan pencarian termasuk di Perak.

“Sebelum ini, kami cari di sekitar kampung tetap, kami mula bergerak mencari ayah di beberapa kawasan di luar Sabak Bernam.

“Saya yakin ayah akan selamat dan kami sekeluarga amat merinduinya. Kami berharap ayah dapat ditemui dan reda dengan apa yang terjadi,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh memaklumkan kepada balai polis terdekat dan menghubunginya di talian 013-2218609 atau 017-3493451 (Zulkifli).

Harian Metro pada 10 November lalu melaporkan Asrah dilaporkan hilang selepas keluar minum pada 12.30 tengah hari.

Warga emas itu tidak membawa sebarang dokumen peribadi termasuk telefon bimbit dan menunggang motosikal Honda Wave warna hitam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 3:33 PM