Poster larangan merokok ditampal di restoran. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Mohd Husni Mohd Noor


KEMENTERIAN Kesihatan memaklumkan tindakan penguatkuasaan larangan merokok akan dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 Januari ini.

Menerusi langkah penguatkuasaan itu, individu yang melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan perkara itu pada sidang Dewan Rakyat hari ini menjawab pertanyaan dikemukakan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) berhubung status kempen larangan merokok di premis makanan.

Dr Dzulkefly berkata, tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap perokok yang ingkar itu turut membabitkan larangan merokok di semua premis makanan.

“Sehingga kini, kami giat menjalankan penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan selain menekankan aspek pendidikan dalam isu itu,” katanya.

Mulai 1 Januari ini, perbuatan merokok wajib dilakukan di luar jarak tiga meter atau kira-kira 10 kaki dari setiap premis berkenaan.

Kegagalan mematuhi larangan itu menyebabkan perokok didakwa di mahkamah, sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun.

Bermula 1 Januari lalu, Kementerian Kesihatan mewartakan semua tempat makan sebagai tempat larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, Akta Makanan 1983.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan turut menetapkan tempoh enam bulan sehingga Jun lalu sebagai aktiviti penguatkuasaan pendidikan sebelum melanjutkan enam bulan lagi sehingga Disember ini.

Alasan lanjutan penguatkuasaan pendidikan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan meningkatkan usaha membantu orang ramai berhenti merokok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 4:01 PM