Laporan portal Harian Metro sebelum ini
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

TEMPOH reman tiga pelajar tahfiz yang dipercayai terbabit dalam kematian rakan mereka, Mohammad Aimin Nurul Amin, 7, di sebuah pusat tahfiz di Kampung Kuala Kaung di Lanchang, Temerloh dilanjutkan selama enam hari sehingga 20 November depan.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Temerloh Hayatul Hafifie Hisham hari ini.

“Reman mereka sebelum ini berakhir hari ini dan kita memohon lanjutan tempoh bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan,” katanya.

Pada 8 November lalu, media melaporkan Mohammad Aimin disahkan meninggal dunia pada 1 tengah hari ketika menerima rawatan Klinik Kesihatan Lanchang.

Mangsa ditemui dalam keadaan lemah oleh warden pusat tahfiz berkenaan sebelum membawanya ke klinik itu.

Bedah siasat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoShAS) mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat trauma di dada dan abdomen oleh permukaan atau objek tumpul.

Sebelum ini, Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan mengesahkan punca kejadian adalah disebabkan perasan cemburu tiga suspek terhadap mangsa yang dilihat lebih mesra dan manja dengan pentadbir pusat itu sebelum tercetusnya pergaduhan yang membawa kepada kematian mangsa.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Berita berkaitan

'Ya...Aimin memang manja'

Cemburu rupanya...

'Periksa dulu status pusat tahfiz - TPM'

'Warden terkejut ada lebam'

'Pusat tahfiz diarah tutup'

'Pelajar tahfiz maut dipukul [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 4:35 PM