MURID Tahun Enam yang dibimbing guru agama pada majlis Khatam Al-Quran Perdana Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan, Program j-QAF Peringkat Negeri Melaka di Masjid Al Sultan Abdullah, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar


LEBIH 700 murid atau tujuh peratus daripada kira-kira 11,000 murid Tahun Enam di Melaka tidak boleh mengaji al-Quran, selain turut didakwa tidak mendirikan solat.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pendidikan Islam (SPI), Jabatan Pendidikan Melaka, Ahmad Hamizi Abu Hassan berkata, berdasarkan data Unit j-QAF (Jawi, al-Quran, Arab, Fardu Ain) SPI, murid terbabit tidak mampu mengenali huruf jawi, sekali gus tidak mampu mengaji al-Quran.

Sehubungan itu, katanya guru besar diminta mengemukakan nama murid terbabit kepada bakal pengetua sekolah menengah bagi membolehkan murid berkenaan dibimbing pengajian al-Quran dalam Tingkatan Satu, tahun depan.

“SPI amat berharap j-QAF dimasukkan dalam Dialog Prestasi Jabatan Pendidikan Melaka bagi membolehkan aspek mengaji al-Quran dan fardu ain dibincangkan bagi menilai pencapaian murid,” katanya berucap pada majlis Khatam al-Quran Perdana Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan, Program j-QAF Peringkat Negeri Melaka di Masjid Al Sultan Abdullah, Masjid Tanah dekat Alor Gajah, hari ini.

Seramai 232 murid Tahun Enam menyertai program itu dengan dipimpin Khalifah Khatam dari Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Tamby Chik Karim, Masjid Tanah, Rashdan Mohamad.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan (Sektor Pembangunan Murid) yang juga Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka, Jamsari Mariman.

Ahmad Hamizi berkata, data Unit j-QAF SPI juga menunjukkan hanya 29 peratus daripada kira-kira 11,000 murid Tahun Enam di seluruh Melaka yang mampu khatam al-Quran pada 2015.

Sehubungan itu, SPI mengambil langkah drastik melaksanakan program pemantapan pendidikan j-QAF bagi meningkatkan jumlah murid yang mampu khatam al-Quran dan angka berkenaan meningkat kepada 32 peratus pada 2016.

Pada 2017 angka itu bertambah kepada 36 peratus dan diikuti dengan 2018 (42 peratus) dan pada tahun ini 44.4 peratus, katanya.

Sementara itu, Jamsari berkata, murid yang tidak mampu mengaji al-Quran dibimbangi tidak mendirikan solat kerana tidak mampu membaca surah al-Fatihah yang berfungsi sebagai satu daripada 13 rukun solat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 5:05 PM