Mohamad Isnin bersama bapanya di rumah mereka yang kerap dilanda banjir. FOTO Imran Makhzan
Zatul Iffah Zolkiply


“KAMI sekeluarga sudah lali dengan banjir seperti ini.

“Biasanya apabila memasuki November, kami sudah bersedia kerana bila-bila masa saja kediaman dinaiki air apabila hujan berterusan selama tiga jam,” kata Mohamad Isnin Mohammad Don, 39.

Mohamad Isnin bersama bapa, isteri dan anaknya antara 33 mangsa daripada tujuh keluarga dari Kampung Cheting yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) malam tadi.

PPS di Masjid Kampung Cheting pertama dibuka di negeri ini 10 malam tadi berikutan banjir akibat hujan lebat namun semua mangsa sudah pulang ke rumah masing-masing selepas banjir mulai surut.

Menurut Mohamad Isnin, hujan bermula 5.30 petang sebelum mereka diarahkan berpindah pada 9 malam selepas kawasan kediaman rumah mula dinaiki air hingga paras paha.

“Kejadian lebih kepada banjir kilat. Kami di sini memang sudah biasa dengan keadaan ini.

“Apabila memasuki musim tengkujuh, PPS ibarat rumah kedua kerana kami berulang-alik ke sana.

“Kawasan di sini memang rendah dan air cepat naik kalau hujan berterusan.

“Paling lama kami pernah duduk di PPS tiga hari dan pulang semula ke rumah namun jika hujan, kami ke PPS semula,” katanya yang bekerja sebagai buruh.

Menurutnya, rumah yang didiami itu pernah dinaiki air sehingga paras dada ketika banjir 2017 dan berharap banjir tahun ini tidak seteruk kejadian itu.

“Apa yang berlaku memang fenomena alam tetapi kesan banjir bukan hanya kekotoran akibat lumpur atau air tetapi memberi kesan kepada struktur rumah yang reput.

“Rumah asal ini papan tetapi banyak rosak dan reput akibat banjir.

“Memang ruang ini agak tinggi berbanding kawasan depan tetapi ia sekadar tempat untuk meletakkan barang dan adakalanya, air pernah naik sampai ke bahagian ini,” katanya.

Katanya, dia dan bapanya, Mohammad Don Yunus, 63, pernah memohon bantuan sama ada rumah baharu atau bantuan untuk membaiki rumah namun sehingga kini masih menemui jalan buntu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 5:21 PM