Peguam Negara menyatakan kempen dari rumah ke rumah tidak memerlukan permit. FOTO Hairul Anuar Rahim
Siti A’isyah Sukaimi


JABATAN Peguam Negara hari ini mengeluarkan kenyataan yang bertentangan arahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan permit untuk kempen bergerak dan dari rumah ke rumah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menjelaskan, kempen seperti itu oleh calon dan jentera parti tidak memerlukan permohonan permit daripada polis berdasarkan Seksyen 24B (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Dalam hal ini, peruntukan ini tidak secara jelas merujuk kepada kempen bergerak dan dari rumah ke rumah.

“Perkataan yang digunakan dalam peruntukan itu juga tidak boleh sama sekali ditafsirkan sebagai kempen dari rumah ke rumah dan tinjauan mesra.

“Mengikut amalan sejak 1955, kaedah ini yang paling popular digunakan untuk merayu undi oleh calon dan parti bertanding tanpa memerlukan permit,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian memberi penjelasan mengenai kontroversi berhubung permit polis bagi kempen rumah ke rumah dan tinjauan mesra oleh enam calon dan jentera parti di PRK Parlimen Tanjung Piai.

Dalam pada itu, Thomas berkata, perlu diingat iaitu mengundi adalah hak asasi yang jelas termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sejak 1955, 14 pilihan raya umum selain ratusan pilihan raya kecil diadakan bagi membolehkan pengundi memilih ahli parlimen dan wakil rakyat mereka.

“Aktiviti berkempen bagi tujuan pilihan raya ini penting di dalam sistem demokrasi berparlimen,” katanya.

Media melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menetapkan semua parti dan calon yang bertanding dalam PRK Parlimen Tanjung Piai perlu mendapatkan permit bagi kempen yang dibuat dari rumah ke rumah.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun berkata, selain itu, PDRM turut menetapkan program tinjauan mesra yang turut dianggap sebagai kempen bergerak, perlu mempunyai tempoh masa dan lokasi yang jelas bagi tujuan pemantauan.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 5:59 PM