Keadaan ambulans selepas terbalik di Jalan Kemajuan, Kuala Terengganu hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Zatul Iffah Zolkiply


PEMANDU ambulans dan dua jururawat terselamat selepas kenderaan dinaiki mereka terbalik dalam kejadian di Jalan Kemajuan di Kuala Terengganu hari ini.

Dalam kejadian 1.05 tengah hari itu, ambulans berkenaan dalam perjalanan pulang ke Klinik Kesihatan Jabi, Besut selepas menghantar pesakit yang mahu bersalin ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, siasatan awal mendapati ambulans itu sedang melalui laluan berbukit sebelum hilang kawalan dipercayai disebabkan keadaan jalan licin kerana hujan.

Menurutnya, ambulans dipandu lelaki berusia 50 tahun itu kemudiannya berpusing sebelum terbalik di atas pembahagi jalan.

“Bagaimanapun, pemandu dan dua jururawat berusia 38 dan 48 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 7:44 PM