MPS merobohkan enam struktur gerai haram dan dua garaj kenderaan di Taman Setia, Rawang.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


MAJLIS Perbandaran Selayang (MPS) merobohkan enam struktur gerai haram dan dua garaj kenderaan di Taman Setia, Rawang, hari ini.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, operasi meroboh dilaksanakan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan PERHILITAN Gombak.

“Perobohan dilakukan susulan aduan diterima daripada masyarakat setempat berhubung kacau ganggu struktur berkenaan.

“Sitaan juga dibuat terhadap premis berkenaan antaranya kedai runcit, gerai jualan sate, kedai makan dan stor menyimpan tong gas,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad Zin berkata, tindakan itu dibuat mengikut Akta Undang-Undang Kecil Penjaja (MPS) 2007 atas kesalahan beroperasi tanpa lesen penjaja sah.

“Bagi premis stor menyimpan tong gas pula dibuat mengikut Seksyen 3 Undang-Undang Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPS) 2007.

“Manakala tindakan perobohan dibuat mengikut Seksyen 46 (1)(a) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” katanya.

Katanya, Jabatan Perhilitan turut merampas beberapa haiwan peliharaan antaranya angsa, itik, ayam dan monyet yang menyebabkan kacau ganggu di lokasi berkenaan.

“Tindakan dibuat berdasarkan Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976 atas kesalahan menyebabkan kacau ganggu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 8:00 PM