ANTARA barangan berharga ditemui selepas menahan seorang wanita berusia 37 tahun dipercayai mencuri di dalam surau sekitar Rawang.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEORANG penjenayah wanita yang mensasarkan surau wanita sebagai lokasi melakukan jenayah terhenti apabila berjaya dicekup polis.

Wanita berusia 37 tahun mencuri barangan berharga seperti beg tangan dan telefon pintar milik jemaah wanita.

Bagaimanapun, kegiatan wanita itu berakhir selepas sepasukan polis berjaya menahannya di Taman Setia Rawang, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, wanita berkenaan ditahan selepas sepasukan polis dari Balai Polis Rawang membuat pemerhatian terhadapnya pada jam 2 petang.

“Suspek yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri menaiki Proton Wira.

“Bagaimanapun, dia berjaya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Rawang untuk siasatan lanjut,” katanya.

Arifai berkata, siasatan awal mendapati suspek wanita itu melakukan kegiatan curi barangan di empat surau sekitar Rawang.

“Polis turut merampas beberapa beg tangan wanita, dua telefon pintar, jam tangan dan buku akaun bank.

“Suspek kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 9:52 PM