POLIKLINIK MUC (Malaysian Urgent Care)menjadi panel Klinik PeKa B40 di Hentian Kajang.
hmdigital

CYBERJAYA: Sejak dilaksanakan 15 April lalu, lebih 150,000 orang direkodkan menjalani saringan kesihatan melalui Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) diperkenalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membantu golongan berpendapatan rendah.

Menerusi jumlah itu, 60 peratus daripada mereka didapati mempunyai pelbagai penyakit memerlukan alat bantuan dan rawatan perubatan susulan.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth), Datuk Ab Latiff Abu Bakar berkata, jumlah kehadiran orang ramai yang mendapatkan saringan dilihat amat menggalakkan berikutan tahap kesedaran semakin tinggi walaupun tidak sampai setahun skim ini dilaksanakan.

Katanya, perangkaan itu adalah hasil inisiatif PeKa B40 yang membolehkan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangannya daripada keluarga berpendapatan rendah B40 menjalani saringan kesihatan di lebih 2,000 klinik meliputi 1,529 klinik perubatan swasta umum (GP) dan 885 klinik kesihatan KKM di seluruh negara secara percuma.

“PeKa B40 memberi penekanan kepada pengesanan awal penyakit tidak berjangkit (NCD) kepada golongan B40 terutama apabila usia meningkat, sekali gus mengurangkan bebanan kos rawatan kumpulan berkenaan.

“Ia dibiayai sepenuhnya kerajaan dan menyediakan empat manfaat meliputi perkhidmatan saringan kesihatan, bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.

“Jika mereka penerima BSH dan pasangan berumur 50 tahun dan ke atas, penyertaan mereka adalah secara automatik dan tiada pendaftaran diperlukan,” katanya.

Pada tahun hadapan, had umur penerima ditetapkan mulai 40 tahun kerana menyedari keperluan golongan ini yang semakin ramai mengalami NCD.

AB LATIFF.

Mereka diwajibkan menjalani saringan kesihatan terlebih dahulu untuk mengenal pasti jenis penyakit, rawatan dan alat perubatan yang boleh dimohon.

Saringan kesihatan dijalankan secara percuma termasuk pemeriksaan kesihatan mental, klinikal payudara dan klinikal prostat (jika perlu) manakala pemeriksaan makmal merangkumi ujian darah dan air kencing bagi mengesan kencing manis, tahap kolesterol dan fungsi buah pinggang.

Melalui manfaat bantuan alat perubatan, penerima akan menerima bantuan dengan had maksimum RM20,000 terhad kepada kategori tertentu di hospital KKM.

Ab Latiff berkata, ada 10 alat perubatan yang boleh dipohon iaitu stent untuk jantung, alat sendi tiruan, alat bantuan pendengaran, perentak jantung, prostesis dan implan untuk tulang belakang, prostesis dan ortosis tulang anggota, kanta mata intraokular, alat terapi pernafasan dan mesin oksigen, bantuan sokongan nutrisi serta kerusi roda diubah suai mengikut keadaan pesakit.

“Bagi insentif melengkapkan rawatan kanser, RM1,000 dibayar kepada pesakit melengkapkan rawatan di fasiliti KKM dan bayaran secara berperingkat bergantung kepada tahap rawatan manakala insentif tambang pengangkutan diberi maksimum RM500 bagi Semenanjung serta RM1,000 untuk Sabah, Sarawak dan Labuan bagi setiap penyakit.

“Selain klinik kesihatan KKM, kita bekerjasama dengan klinik dan makmal swasta dengan melakukan program turun padang mendekati golongan sasar terutama di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan luar bandar,” katanya.

Bagi proses mendapatkan saringan kesihatan percuma, penerima BSH dan pasangan berusia 50 tahun dan ke atas boleh menyemak kelayakan di laman web PeKa B40.

Mereka kemudiannya perlu ke klinik PeKa B40 berdekatan yang dikenal pasti melalui pelekat PeKa B40 dengan membawa kad pengenalan (MyKad).

Ab Latiff berkata, pemeriksaan kesihatan dilakukan semasa lawatan pertama di klinik dan lawatan kedua bagi keputusan makmal.

“Untuk menjalani saringan kesihatan, mereka tidak perlu berpuasa kerana saringan diabetes menggunakan ujian HbA1c.

“Melalui keputusan saringan, doktor akan beritahu mereka sihat atau sebaliknya, sama ada perlukan rujukan ke fasiliti KKM untuk rawatan lanjut dan sebagainya.

“Setelah dirujuk ke fasiliti KKM, pegawai perubatan KKM akan membuat pemeriksaan lanjut dan sekiranya layak dapat bantuan alat perubatan atau insentif-insentif tadi, pegawai perubatan akan membuat permohonan dengan mengisi borang secara atas talian dan aturkan untuk buat pembedahan di mana kos alat perubatan atau insentif-insentif itu dibiayai ProtectHealth,” katanya.

ONG menunjukkan kaki palsu yang dipakai.

Ibu tunggal empat anak, [email protected] Sa’abdullah, 59, antara yang mendapat bantuan PeKa B40 apabila menerima sendi paha tiruan selepas jatuh tangga pada 31 Oktober 2017.

Kini Natemah boleh berjalan, memandu kereta dan melakukan aktiviti harian lain dengan lebih baik.

Menurutnya, dia tahu kewujudan PeKa B40 menerusi iklan televisyen, tetapi tidak secara terperinci dan ketika mendapatkan rawatan tidak terfikir mengenainya sehingga doktor memberitahu dia layak mendapat bantuan.

“Saya diminta datang ke Hospital Shah Alam untuk maklumat lanjut pada Julai lalu. Alhamdulillah, selepas hampir lima bulan selepas pembedahan kini keadaan saya semakin pulih.

“Dengan adanya PeKa B40 ini memudahkan saya menjalani rawatan, tak payah keluar banyak duit atau berhutang sana-sini.

“Kerajaan ada bantu kita waktu susah, terima kasih banyak saya ucapkan. Ternyata inisiatif ini berkesan dalam membantu golongan sasar,” katanya.

Selain manfaat bantuan alat perubatan bernilai RM7,000, Natemah menerima insentif tambang pengangkutan ulang-alik ke Hospital Shah Alam berjumlah RM68 untuk rawatan susulan.

Bagi Ong Chee Hock, 63, yang hidup sebatang kara dan hanya mengharap ihsan rakan yang menyediakan tempat tinggal serta makanan, kini dia perlu hidup sebagai orang kurang upaya (OKU) pula untuk seumur hidup apabila kaki kanan dipotong akibat komplikasi penyakit kencing manis kronik sejak beberapa tahun lalu.

Bagai sudah jatuh ditimpa tangga, Ong tidak lagi mampu bekerja kerana pergerakannya terbatas tetapi cukup bertuah kerana mendapat bantuan kaki palsu.

Katanya, dia menjalani pembedahan pada Ogos lalu dan dimaklumkan oleh doktor harga kaki palsu ini ialah RM8,000.

“Kalau tempat lain harga lagi mahal sampai RM10,000. Nasib baik kerajaan banyak tolong saya bagi kaki palsu ini. Kalau tidak, mana saya mahu cari wang? Kerja pun tiada,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR), baru-baru ini.

Ong yang tinggal di Taman Eng Ann, Klang, Selangor menerima tiga manfaat PeKa B40 yang terdiri daripada saringan kesihatan percuma, alat bantuan perubatan (kaki palsu) bernilai RM8,000 dan insentif tambang pengangkutan RM20.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 7:26 AM