LORI yang membawa hasil pertanian berkenaan. FOTO Ihsan MAQIS Kedah.
Aizat Sharif


SEBANYAK 240.5 kilogram (kg) halia dan daun limau dari Thailand cuba dibawa masuk ke negara ini tanpa dokumen yang sah.

Ia selepas sebuah lori membawa hasil berkenaan ditahan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam, Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kedah, Lily Rosalind Pakianathan berkata, kejadian pada 11.30 malam.

“Pemeriksaan mendapati lori berkenaan cuba membawa masuk halia sebanyak 208.5 kg dan daun limau sebanyak 32 kg tanpa dokumen sah seperti permit import yang dikeluarkan oleh MAQIS.

“Malah, hasil pertanian itu juga didapati tiada sijil fitosanitasi dari negara asal,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Katanya, anggota yang bertugas merampas barangan hasil pertanian berkenaan yang dianggarkan bernilai RM1,200

“Kesemua halia dan daun limau itu dirampas dan akan dilupuskan mengikut prosedur operasi piawai yang sudah ditetapkan.

“Penahanan keluaran pertanian ini adalah bagi mengekang kemasukan serangga perosak.

“Sekiranya serangga perosak ini terlepas ke negara ini boleh menyebabkan industri pertanian terjejas,” katanya.

Beliau berkata, hal ini boleh menyebabkan pengusaha tanaman pertanian di negara ini menanggung kerugian yang tinggi, jika penyakit ini tidak dikawal.

“Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit yang sah adalah menjadi suatu kesalahan mengikut Sekyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama.

“Ia memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 9:06 AM