Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


ANGGOTA tentera lari dari tugas antara dua lelaki kes samun digelar Geng Fahmi yang diberkas polis kerana dipercayai terbabit dalam beberapa kes samun dan menyamar sebagai polis di tiga daerah.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, anggota tentera dikenali dengan nama panggilan Andy bersama rakannya Emie Toyol masing-masing berusia lingkungan 30-an, ditahan pihaknya dalam dua tangkapan berasingan pada 27 dan 31 Oktober lalu.

Menurutnya, kedua-dua suspek itu diburu polis kerana dipercayai terbabit dalam 14 kes samun, menyamar anggota polis, pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar Taiping, Kerian dan Tapah sejak awal tahun ini.

“Geng Fahmi ini terdiri tiga ahli kumpulan dan dua daripadanya sudah berjaya ditahan manakala dalang utama kumpulan itu dikenali Mohamad Fahmi Shaafie, 31, berasal dari Felda Ijok, Selama, masih bebas.

“Polis masih menjalankan gerakan memburu suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping hari ini.

OSMAN (tiga kiri) menunjukkan suspek utama yang terbabit dalam beberapa kes samun dan menyamar anggota polis. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Osman berkata, suspek pertama Emie Toyol ditahan 1 pagi, 27 Oktober lalu di Lorong Indah 1, Simpang Perak dan susulan penangkapan itu pihaknya berjaya memberkas anggota tentera terbabit pada 10 pagi di Jalan Istana, 31 Oktober lalu.

“Anggota tentera itu berkhidmat di Taiping dan dipercayai lari dari tugas sejak tiga bulan lalu.

“Hasil penahanan dua suspek berkenaan menemui seunit gari, jaket berlogo PDRM, topi berlogo PDRM, tiga pisau berlainan saiz serta beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk menyamun seperti sarung muka, kuku kambing dan pemutar skru selain heroin seberat tiga gram,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 170 dan 395/397 Kanun Keseksaan serta semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau manakala suspek utama yang diburu memiliki 12 rekod kesalahan lampau.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 12:13 PM