Pekerja syarikat pembersihan parah kedua-dua kaki akibat dirempuh kereta hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan


PEKERJA syarikat pembersihan parah kedua-dua kaki akibat dirempuh kereta dalam kemalangan di Jalan Anson, Georgetown hari ini.

Dalam kejadian 6.40 pagi itu, mangsa yang belum diketahui identiti kini dirawat di zon merah Hospital Pulau Pinang (HPP).

Difahamkan, mangsa ketika itu mengutip sampah untuk dimasukkan ke dalam lori sebelum tiba-tiba dirempuh Perodua Axia merah dipandu wanita.

Rempuhan itu menyebabkan kaki mangsa tersepit dan anggota bomba terpaksa dipanggil untuk menyelamatkannya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, setakat ini siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian.

“Pegawai penyiasat masih berada di HPP dan akan mengambil keterangan daripada mangsa bagi melengkapkan siasatan.

“Kita juga sedang mengesan pemandu kereta itu yang didapati meninggalkan lokasi selepas kemalangan,” katanya.

Menurutnya, polis juga sudah ke rumah pemandu itu untuk mengambil keterangan namun dia gagal dikesan sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 12:44 PM