Mohd Sabran Md Sani


‘SAYA boleh membantu mereka (pengundi) membawa pembangunan ke Tanjung Piai,” kata Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, jika dipilih sebagai Ahli Parlimen esok.

Katanya, sejak hari pertama berkempen, misi kempen dijalankan supaya orang faham perjuangan PH, selain memilih dirinya sebagai calon kerajaan yang mampu menyelesaikan masalah masyarakat.

Bahkan sepanjang 14 hari berkempen, beliau yakin pengundi sudah mendapat penerangan yang jelas dan kini faham mengenai semua isu dikaitkan terhadap kerajaan.

“Sebelum ini, mungkin ada segelintir pengundi yang marah dan tidak berpuas hati dengan kerajaan terutama membabitkan isu nasional seperti manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang belum ditunaikan.

“Kita menggunakan tempoh berkempen selama dua minggu untuk memberi penjelasan kepada masyarakat termasuk pengundi mengenai apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui berkempen di Pontian, hari ini.

PERDANA Menteri merangkap Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamed mengangkat tangan calon PH, Karmaine Sardini (kanan) selepas menyampaikan ucapan pada Majlis Sarapan Pagi Bersama NGO Parlimen Tanjung Piai, di Warung 800 Pekan Nenas, di Pontian. FOTO Hairul Anuar Rahim

Menurutnya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri turun padang memberitahu kerajaan sekarang mewarisi hutang terlalu tinggi daripada Barisan Nasional (BN).

“Kita juga jelaskan banyak kejayaan dicapai kerajaan PH antaranya mengurangkan kadar tol, menstabilkan harga minyak.

“Terbaru, kerajaan kini sedang berusaha menaikkan harga komoditi sawit dengan melaksanakan perjanjian dengan negara lain termasuk Afrika.

“Ini semua sebenarnya bukan isu tempatan tetapi isu nasional dan global. Usaha kerajaan bukan sempena PRK, tetapi dilakukan secara menyeluruh dan berterusan sejak mengambil alih pentadbiran negara” katanya.

Menurutnya, pada hari terakhir berkempen, beliau dan jentera PH akan terus mendekati rakyat sehingga tamat waktu berkempen tengah malam ini.

“Malam ini kita ada satu lagi ceramah mega di Pusat Perdagangan Pontian dan kita berusaha menarik seramai mungkin orang ke sana.

“Saya sudah melawat semua kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) sejak 2 November lalu dan sambutan serta maklum balas diterima amat positif.

“Semua pengundi luar juga sudah dihubungi oleh petugas bilik gerakan dan mengharapkan ramai akan pulang menunaikan tanggungjawab mengundi esok,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 1:42 PM