Antara pengunjung PIEX’19 di Stadium Indera Mulia, Ipoh. FOTO Muhaizan Yahya
Mohd Hafizee Mohd Arop


PAMERAN hartanah, MyRumah 2019 atau dikenali MyRumah Perak-Ku 2019 pada penganjuran di Perak kali ini menyediakan 63,500 unit kediaman untuk direbut pengunjung yang berhasrat memiliki kediaman sendiri.

Berlangsung di Stadium Indera Mulia di Ipoh bermula semalam, enam pemaju mengambil bahagian pada pameran yang diadakan secara kerjasama dengan Ekspo Antarabangsa Perak 2019 (PIEX’19).

Pengurus MyRumah, Mohd Haslan Abd Abas berkata, 63,500 unit kediaman itu membabitkan Nilai Pembangunan Kasar (GDN) RM5.2 bilion dan sudah pasti memberikan pilihan kepada pengunjung.

Katanya, semua rumah yang ditawarkan membabitkan lokasi di sekitar Ipoh, Lembah Meru serta Ulu Kinta dan berharap orang ramai yang mahu memiliki kediaman tidak melepaskan peluang ke pameran berkenaan.

“Selain pameran rumah daripada pemaju, seperti kebiasaannya program ini juga menyediakan pelbagai aktiviti sebelum diteruskan dengan program ilmu hartanah pada Sabtu dan Ahad.

“Seboleh-bolehnya misi kita memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai ilmu hartanah tercapai dan orang ramai memiliki rumah sendiri,” katanya ditemui pada pameran itu hari ini.

Mohd Haslan berkata, penganjur berharap orang ramai hadir bagi memeriahkan pameran itu serta merebut peluang memiliki kediaman sendiri dengan harga antara RM70,000 sehingga RM500,000.

Sementara itu, Pembantu Pengurus Jualan Casa Subang Sdn Bhd, Stanley Kok berkata, pihaknya yang sudah menyertai pameran anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) itu tahun lalu melihat impak besar dari penganjuran pameran itu kepada pemaju dan pengunjung.

“Tahun lalu Casa Subang berjaya menjual enam unit rumah kediaman dan melihat pameran ini membantu orang ramai memperoleh ilmu hartanah sekali gus memiliki kediaman sendiri.

“Kali ini Casa Subang terus menyertai pameran ini dengan menyediakan rumah mampu milik untuk dimiliki pengunjung iaitu kondominium di Klebang, Ipoh pada harga bermula RM158,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 3:51 PM