NUR Ronal hadir perbicaraan kes kematian CEO Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan di Kompleks Mahkamah Shah Alam. FOTO Saddam Yusoff
Sarah Zulkifli


SAKSI ke-12, Nur Ronal Ardes Amir, yang juga bekas anggota polis bagi kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, (Cradle Fund), Nazrin Hassan, kelihatan terkejut apabila didakwa sengaja mereka-reka cerita ketika perbicaraan.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan mengeluarkan tuduhan terhadap Nur Ronal berhubung keterangan beliau dalam perbicaraan kes pembunuhan berprofil tinggi itu.

Muhammad Shafee ketika sesi soal balas, keterangan oleh saksi itu bercanggah mengenai masa Nur Ronal tiba di tempat kejadian pada 12.35 tengah hari sedangkan bomba tiba pada 12.44 tengah hari.

“Saya hanya menggunakan kira-kira sahaja serta anggaran dan bukannya waktu yang tepat,” katanya yang ketika kejadian berjawatan Koperal dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Sementara itu, ketika disoal semula Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Salim @Soib, saksi memaklumkan keterangannya dalam mahkamah berdasarkan apa yang dilihatnya pada masa kejadian berkenaan, 14 Jun 2018.

SALIM: TS (Tan Sri Muhammad) Shafee kata apa yang kamu ceritakan adalah rekaan, adakah kamu tidak bersetuju, boleh jelaskan?

NUR RANOL: Saya tidak bersetuju kerana masa kejadian saya berada di situ. Malah tiada sebab saya mahu reka cerita kerana saya tidak kenal mangsa dan tertuduh. Saya pergi (lokasi kejadian) atas bantuan yang diminta URB (Unit Rondaan Bermotor)

Terdahulu, ketika sesi soal balas, Nur Ronal tidak bersetuju dengan kenyataan peguam bela ketiga-tiga tertuduh, Muhammad Shafee bahawa dia mereka cerita bohong untuk dianggap sebagai hero.

Saksi sama itu berkali-kali menegaskan kepada mahkamah, dia masih ingat perkataan dikeluarkan Samirah bahawa tertuduh memang tidak ada pembantu rumah dan semua kerja rumah dilakukannya sendiri.

Penegasan itu dibuat apabila Muhammad Shafee memberitahu Samirah menafikan perkara itu sebaliknya tertuduh memberitahu saksi bahawa dia tiada pembantu rumah ketika itu.

Sementara itu, saksi sama juga memberitahu, dia tidak mengesyaki sebarang unsur jenayah dalam kes kebakaran itu sehinggalah melihat laporan berita yang dikeluarkan siaran televisyen, TV3.

Samirah Muzaffar , 44, iaitu bekas Eksekutif Kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), yang juga isteri Nazrin, dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 dan 14 tahun, didakwa membunuh Nazrin.

Turut didakwa ialah seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokannya.

Prosiding perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman bersambung 29 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 4:20 PM