Polis merampas pelbagai barangan selepas menahan lelaki yang mencuri di R&R Sungai Buloh arah selatan. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


TINDAKAN penjenayah menjadikan kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh sebagai ‘lubuk’ untuk mencuri barangan pemilik kereta yang singgah di situ mengundang padah apabila ditahan polis Isnin lalu.

Dalam kejadian 6.50 petang itu, lelaki berusia 30 tahun itu memecah cermin kereta yang berhenti di R&R Sungai Buloh arah selatan selepas pemiliknya ke surau untuk solat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, mangsa berusia 47 tahun hanya menyedari keretanya diumpil dan cermin pecah selepas solat sebelum mendapati terdapat barang hilang.

Menurutnya, susulan itu dia kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Sri Damansara untuk tindakan lanjut.

“Sepasukan anggota Bahagian Risikan Jenayah (D4) bersama pasukan Lejang Khas IPD Petaling Jaya mengesan suspek sebelum menahannya di kawasan tempat letak kereta di (R&R) Sungai Buloh arah selatan.

“Bagaimanapun ketika proses tangkapan berlaku pergelutan dan suspek cuba melarikan diri menyebabkan dia mengalami kecederaan sebelum dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zani berkata, polis merampas Proton Persona, pelbagai beg berjenama, pakaian, pemutar skru, Smart Tag, kad Touch ‘n Go (TnG) dan lampu suluh.

“Semakan mendapati suspek memiliki lima rekod jenayah lampau membabitkan kes mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, empat kes dadah dan tiga kes orang dikehendaki.

“Siasatan awal dia mengaku terbabit dalam kejadian itu bersama seorang lagi rakan yang sedang diburu,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman lima hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 5:34 PM