Laporan portal Harian Metro sebelum ini.
Khairul Najib Asarulah Khan


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung tindakan lelaki yang cuba menarik kenderaan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban di Lebuhraya Utara-Selatan pada 7 November lalu.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, pihaknya sedang mengesan lelaki terbabit termasuk mengenal pasti sama ada dia mempunyai kad Ejen Pemilikan Semula (EPS) dan tindakan itu mengikut prosedur yang ditetapkan atau sebaliknya.

Menurutnya, permohonan dan pendaftaran kad EPS perlu dibuat kepada pihaknya sebelum diberi kelulusan.

“Dengan itu, kita sedang mengesan lelaki itu sama ada mempunyai kad EPS yang masih aktif atau tidak.

“Untuk maklumat, kenderaan yang mempunyai dua bulan tunggakan boleh ditarik EPS mengikut syarat ditetapkan,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian itu yang tular di media sosial sejak 9 November lalu.

Dalam pada itu, Iskandar mengingatkan mereka yang melakukan pinjaman kewangan untuk pembelian kenderaan perlu memastikan ia tidak tertunggak melebihi dua bulan.

“Jika tertunggak, EPS boleh menarik kenderaan itu dan mereka yang mengalami kesulitan dikehendaki berbincang dengan syarikat kewangan berkenaan,” katanya.

Pada Selasa lalu, Harian Metro melaporkan pegawai teknologi syarikat swasta nyaris kehilangan kereta selepas cuba ditarik lelaki yang menyamar sebagai pegawai KPDNHEP dan mendakwa kononnya dia menggunakan kenderaan klon.

Lelaki itu singgah di R&R berkenaan ketika dalam perjalanan dari Alor Gajah ke Putrajaya bersama isteri serta anaknya sebelum membuatkan laporan polis di Nilai kerana curiga dengan tindakan itu.

Berita berkaitan

Isteri sempat rakam 'pegawai' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 5:37 PM