MUHAMMAD Ashraf (kanan) ketika melakukan kerja memasang batu nesan dan kepuk di kubur. FOTO Ihsan Pembaca


PENUNTUT universiti selalunya berkerja sebagai pembantu kedai atau penghantar makanan bagi menampung kehidupan di kampus, namun tidak bagi tiga pemuda ini yang memilih untuk mencari duit poket dengan berkerja di tanah perkuburan.

Muhammad Ashraf Ismail, 25, Haziq Aiman Muhammad Noor, 20 dan Muhammad Muizzuddin Mazlan, 20, yang masih melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, melakukan kerja pembuatan serta pemasangan batu nesan dan kepuk.

Selain mendapat upah berbaloi, bagi mereka yang berkerja di syarikat Nisan Rich di Taman Kajang Sentral itu, pekerjaan terbabit adalah fardu kifayah di samping rezeki yang halal.

Penuntut tahun akhir di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Melaka, Muhammad Ashraf berkata, dia membuat kerja terbabit sejak tiga tahun yang lalu bagi menampung pelajaran selepas ayahnya meninggal dunia.

“Saya tidak mahu susahkan ibu dan juga ahli keluarga yang lain. Kami pula bukan datang daripada keluarga yang senang apabila saya tengok ada kerja kosong (di Nisan Rich) terus saya ambil.

“Pada mulanya, ibu kurang bersetuju dengan pekerjaan sambilan itu tambahan pula saya masih belajar.

“Namun, saya terangkan kepada dia pekerjaan ini saya buat ini hanya pada waktu cuti semester serta Sabtu dan Ahad saja sekiranya tidak sibuk. Jadi dia setuju,” katanya kepada Harian Metro.

Muhammad Ashraf mengakui pada mulanya dia agak sedikit takut untuk melakukan kerja memasang batu nesan dan kepuk di kubur itu.

“Namun, apabila difikirkan kembali, nanti saya juga akan ditinggalkan berseorangan di dalam kubur apabila meninggal dunia.

“Memang kadang-kadang saya rasa ada orang ‘usap’ belakang saya, selain terdengar orang bersiul. Namun saya hanya biarkan saja,” katanya yang berasal dari Semenyih.

Bagi penuntut tahun dua Universiti Teknologi MARA (UiTM), Muhammad Muizzuddin berkata, dia mula membuat pekerjaan terbabit lebih setahun yang lalu.

“Saya anak bongsu dan Ibu serta ayah pun masih berkerja termasuk empat adik-beradik yang lain. Namun, saya segan nak minta duit dengan mereka jadi saya cari duit sendiri.

“Kadang-kadang ramai juga yang tanya kenapa saya buat pekerjaan terbabit. Namun, bagi saya selagi pekerjaan itu mendatangkan wang yang halal apa salahnya.

“Bagi saya pekerjaan ini seronok malah meluaskan pengalaman hidup. Kadang-kadang saya pergi ke Negeri Sembilan, Melaka atau Johor untuk pasang batu nesan dan juga kepuk semata-mata,” katanya.

Sementara itu, penuntut tahun dua, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Johor, Haziq Aiman berkata, pada mulanya dia melakukan pekerjaan bagi membayar yuran pengajiannya di universiti berikutan tidak ambil pinjaman pendidikan.

Katanya, dia juga tidak mahu menyusahkan ibu bapa memandangkan abangnya juga masih belajar di UTeM manakala, adiknya masih bersekolah.

“Saya buat kerja ini pada cuti pertengahan dan akhir semester saja. Ibu bapa pun tidak kisah selagi saya masih tahu menjaga adab di kubur.

“Kerja pula tidak susah, namun hanya sedikit penat namun bayaran yang saya terima sangat berbaloi berbanding dengan bekerja di kedai kafe. Kerja di kafe pun tak dapat seperti bayaran yang saya terima itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 5:40 PM